Monday, 23 July 2018

# HFMD # Kesihatan Anak-anak

Tanda-tanda HFMD dan cara mencegahnya yang ibubapa perlu tahu

HFMD adalah singkatan bagi Hand, Foot, Mouth Disease atau dalam bahasa Malaysia, Penyakit Tangan Kaki Mulut.

HFMD berpunca dari jangkitan virus diberi nama coxsackievirus (A16) dan enterovirus (EV71). Anda mungkin akan dengar doktor menyebutnya sebagai virus coxsackie.

HFMD selalunya menyerang kanak-kanak kecil berusia bawah 10 tahun.


tanda-tanda hfmd malaysia



Cara penyakit HFMD berjangkit


Penyakit HFMD akan berjangkit melalui sentuhan langsung dengan cecair badan seperti hingus, air liur, lepuh serta najis kanak-kanak yang dijangkiti

Penyakit HFMD juga boleh berjangkit melalui sentuhan dengan permukaan atau alat permainan yang tercemar dengan virus HFMD.

Risiko untuk dapat jangkitan HFMD sangat tinggi di pusat penjagaan kanak-kanak serta sekolah termasuk tempat sesak seperti taman permainan dan kedai makan

Orang dewasa juga berisiko untuk mendapat jangkitan sekiranya mereka mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.



Simptom-simptom HFMD


penyakit tangan kaki mulut hfmd




Anak-anak yang telah dijangkiti HFMD akan menunjukkan satu atau lebih simptom-simptom berikut:
  • Demam
  • Sakit tekak
  • Meragam
  • Ulser didalam mulut serta lidah
  • Ruam atau lepuh pada sekitar mulut, telapak tangan serta kaki. Ada juga muncul pada siku, lutut dan punggung.
  • Kurang aktif
  • Kurang selera makan. Ulser pada mulut menyebabkan kesakitan ketika hendak menelan, Pastikan dia makan dan minum secukupnya.

HFMD akan menyebabkan jangkitan ringan, selalunya akan sembuh dengan sendiri selepas 7 hingga 10 hari.

Walaubagaimanapun, ada juga jangkitan HFMD dari EV71 menyebabkan komplikasi seperti keradangan otak dan jantung.


Cara mencegah dan mengawal jangkitan HFMD

Cara yang terbaik dalam menangani penyakit HFMD adalah dengan mencegah dan mengawalnya dari merebak. Berikut merupakan antara langkah-langkah yang disarankan:


1. Periksa anak-anak kita sekiranya mempunyai tanda-tanda awal jangkitan HFMD

Sekiranya anak mempunyai tanda-tanda HFMD, terus bawa berjumpa doktor untuk dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.



2. Pembersihan premis dan saringan

Pengurus pusat asuhan mesti melakukan aktiviti pembersihan premis serta saringan terhadap anak-anak dibawah jagaan mereka sepertimana yang disarankan dalam "Garis Panduan Pengendalian Kanak-Kanak di Taska dan Prasekolah" serta "Pelan Tindakan Bersepadu Bagi Mencegah dan Mengawal Penyakit Tangan Kaki dan Mulut"

Semua dokumen rujukan ini boleh didapati di laman web KKM.



3. Elak dari membawa anak-anak ke tempat awam

Sekiranya anak terkena jangkitan HFMD jangan hantar ke pusat asuhan dan sekolah termasuk membawanya ke tempat awam atau melawat rumah saudara mara.

Jika ada baby atau anak kecil usia bawah 10 tahun sebaiknya kurangkan aktiviti luar terutamanya ke tempat yang sesak.



4. Penjagaan kebersihan diri dan persekitaran dilakukan dengan teliti

Amalkan kebersihan mencuci tangan dengan sabun secara kerap. Amalan ini sangat membantu mengurangkan risiko jangkitan HFMD.

Latih anak-anak kita untuk mencuci tangan guna sabun setiap kali selepas menggunakan tandas, sebelum makan serta setiap kali pulang dari tempat awam.


5. Jangan letak tangan dalam mulut

Ajar, kawal dan ingatkan anak-anak supaya tidak memasukkan tangan dan objek ke dalam mulut atau sekitar mulut mereka.


6. Sentiasa bersihkan barang mainan dan permukaan

Basuh barang anak-anak seperti mainan, puting dan lain-lain dengan pencuci yang membunuh kuman. Bersihkan juga permukaan tempat yang mungkin dicemari oleh virus HFMD.


7. Tidak berkongsi minuman, makanan, mainan atau peralatan

Penyakit HFMD sangat mudah berjangkit. Elak sama sekali berkongsi barangan dan makanan anak-anak dengan sesiapa sahaja di pusat asuhan, sekolah atau ditempat awam.


Baca >> Anak kena HFMD. Apa yang ibubapa perlu lakukan untuk mengawalnya





Ibubapa memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam langkah-langkah mencegah serta mengawal penularan HFMD.

Tindakan pantas dalam mengesan, membendung juga mencegah adalah bermula dari rumah. Ini boleh menjauhkan anak-anak dari terkena jangkitan dan menghalang virus dari menjangkiti mangsa lain.





No comments:

Post a Comment

Follow Instragram Jana_Hazana